Saturday 4 June 2011

N.Sembilan menang dua emas acara berbasikal

Negeri Sembilan terus menuai emas dalam acara berbasikal trek yang membuka gelanggangnya pada temasya Sukan Malaysia ke-14 di sini hari ini.
Negeri Sembilan mengalahkan Johor dengan kelebihan 0.774s dalam acara akhir 4 kilometer kejar-mengejar berpasukan selepas Abdul Rashid Ibrahim, Amirul Anuar Jafri, Mohammad Fairet Rusli dan Mohd Ekbar Zamanhuri.
Pingat gangsa dimenangi Kedah dengan catatan masa 4:56.722s setelah menyingkir Melaka (4:59.950s) untuk merebut tempat ketiga dan keempat.
"Kami tidak sangka dapat menang pada perlumbaan ini kerana Johor pada awalnya bersaing rapat masa dengan kami. Namun melihat kemampuan mereka (Johor) yang makin perlahan, kami gandakan kayuhan hingga ke akhir,” kata Amirul Anuar.
Amirul Anuar, yang merangkul emas dalam acara 15km scratch race, pada sebelah pagi, berkata beliau bersyukur dengan dua emas yang dimenanginya itu.
Sementara itu, bagi acara 3 kilometer kejar-mengejar berpasukan wanita, pasukan pilihan, Terengganu yang dibarisi trio Nur Ain Mahmood, Ummi Hamimah Mohamad dan Zahraa Anuawar, menepati ramalan untuk merangkul pingat emas.
Mereka membuat catatan masa 4:13.618s untuk jauh meninggalkan pasukan Selangor dengan perbezaan catatan masa 8.949s.
Perebutan pingat gangsa pula menyaksikan trio Kedah berjaya mengatasi Johor dengan catatan masa 4:22.977s.
"Kita sudah jangka memenangi emas pada acara ini kerana telah berlatih keras dan mempunyai kelebihan dari segi stamina,” kata Ummi Hamimah.
Empat kelayakan iaitu kelayakan pecut 200 meter lelaki dan wanita dan 4 kilometer kejar-mengejar individu lelaki dan 3km kejar-mengejar individu wanita akan diadakan esok.

No comments:

Post a Comment